7/06/2005

Yi Er San… Pelajarku

“Cikgu, dia ambil pensel warna saya!” Yi Ern mengadu kepada saya sambil menuding jarinya ke arah rakan yang duduk di sebelahnya.
“Ika, adakah Ika mengambil pensel warna Yi Ern?” saya bertanya kepada murid saya yang mempunyai ketinggian kira-kira 135cm itu.
Ika menjeling Yi Ern dengan matanya yang sepet. Dia menggenggamkan tangan sendiri seolah-olah ingin mematahkannya. Mulutnya tetap terkatup rapat.
Itulah Nur Hamelyzah bt. Hamzah, satu-satunya murid Melayu dalam kelas Bahasa Cina saya yang terdiri daripada 24 orang kanak-kanak di Tadika Jasmin, Nilai.
Apabila saya mengambil alih kelas ini daripada Pn. Khoo pada bulan Januari, saya jarang memerhati pelajar yang bertocang pendek ini. Tempat duduknya terletak di sudut kelas. Dia jarang mengangkat tangan untuk bertanya soalan kecuali meminta izin ke tandas.
“Keputusannya dalam ujian yang lepas agak teruk namun dia tidak akan menimbulkan sebarang masalah dalam kelas.
“Ketika tuisyen, kamu hanya perlu memastikannya menyaipkan kerja rumah sebelum pulang,” pesan Pn. Khoo sebelum cuti bersalinnya.
Dahi saya berkerut. Bukankah tuisyen waktu untuk mengajar murid sesuatu yang baru? Mengapa masa itu hanya diperuntukkan untuk menyelesaikan kerja rumah?
Apabila saya mula mengajar cara untuk membina ayat di kelas, saya terkejut Ika tidak tahu menulis dan menyebut walaupun sepatah perkataan bahasa Cina mudah seperti yi er san (bermakna satu dua tiga), kecuali lao shi (bermakna cikgu).
Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Ika pernah menghadiri kelas bahasa Cina ketika berumur lima di tadika ini. Mengapa hanya dia yang menghadapi masalah sedemikian sedangkan murid yang baru pun boleh menulis lebih baik daripadanya?
Pada keesokan harinya, saya membuat keputusan untuk memindahkan tempat duduk Ika ke sebelah Yi Ern yang fasih berbahasa Melayu dan bahasa Cina. Seterusnya, saya memberi pengajaran asas bahasa Cina kepadanya ketika tuisyen.
Saya mula melatihnya untuk menulis setiap perkataan bahasa Cina mengikut urutan yang betul. Misalnya, perkataan asas 人 (bermakna manusia) mesti ditulis ノ dahulu, diikuti dengan 乀 dan bukan sebaliknnya.
Ini ialah prinsip utama dalam bahasa Cina dan setiap perkataan mempunyai urutan yang berbeza. Malahan sebutan dan makna setiap perkataan juga berlainan dengan penambahan atau pengurangan satu ノ atau乀.
Lantaran daripada kerumitan ini, saya sentiasa memegang tangan Ika untuk membimbingnya menulis setiap perkataan baru yang saya ajar.
Selain itu, saya sering mencangkung di hadapan Ika supaya dia dapat meneliti pergerakan bibir saya apabila saya melafazkan sebutan sesuatu perkataan. Saya akan cuba membetulkan sebutannya daripada shu kepada su, len kepada leng.
“Fan...fan....fan...fan...fang...,” lafaz Ika dengan lembut sambil menulis.
“Ika! Buat apa ni? Kan lao shi dah terangkan tadi, perkataan tu ialah fan, bukan fang!” saya menegurnya apabila meyedari perubahan sebutannya yang disengajakan.
Situasi ini berlanjutan selama tiga bulan kerana Ika gemar merenung di kelas. Jika tidak diawasi, dia boleh menghabiskan berjam-jam dengan hanya menatap hasil lukisan yang dipaparkan pada dinding kelas.
Di samping itu, pemahamannya terhadap perkataan baru agak lambat berbanding dengan murid lain. Lazimnya, saya perlu mengadakan latihan menulis, ejaan dan penerangan makna sesuatu perkataan kepadanya selama tiga hari.
“Mengapakah encik menghantar Ika ke sini?” saya pernah tanya kepada En. Hamzah apabila beliau datang mengambil anaknya dengan motor.
“Saya ingin menghantarnya ke sekolah rendah Cina pada tahun hadapan. Jadi, saya nak dia membuat persediaan bermula dari sekarang,” katanya sambil membelai-belai rambut Ika dan mengikat tali topi keledar pada kepala anaknya.
Jawapan ini sering menyebabkan muka saya menjadi merah padam apabila En. Hamzah menghulurkan yuran tuisyen yang berjumlah RM 200 kepada saya pada setiap awal bulan dengan tangan yang kasar bagai kertas pasir.
Kemajuan Ika tidak ketara namun saya tahu perkembangannya ada. Walaupun Ika sering menggunakan 30 minit untuk menyaipkan satu muka surat latihan menulis yang terdiri daripada 100 petak segi empat sama, namun tulisan bahasa Cinanya tidak cakar ayam malahan tersusun rapi seperti landasan kereta api.
Ika hampir mendapat tempat ketiga dalam satu pertandingan menulis tetapi kelayakannya dibatal. Hal ini kerana guru besar tadika, Pn. Sim memotong namanya daripada senarai pemenang dan menggantikannya dengan nama Onn apabila ibu Onn bersungut akan menghantar anaknya ke tadika lain sekiranya hadiah tidak diberi.
“Lao shi...” Ika menatap muka saya dengan anak matanya yang tenang.
Dia tidak memberi sebarang penjelasan terhadap tuduhan Yi Ern, namun jauh di lubuk hati saya percaya dia tidak melakukannya. Ika memang suka mewarnai gambar tetapi dia tidak akan mengambil pensel warna orang lain.
Ketika waktu mata pelajaran Seni, Ika akan menggunakan 12 batang pensel warnanya dengan sebaik yang mungkin. Sekiranya gambar yang diberi ialah seorang polis, kedua-dua tangan polis akan diwarnai hijau, paras muka diwarnai perang manakala kaki akan diwarnai ungu. Baju seragam polis pula akan diwarnai dengan merah jambu.
Pn. Sim sering membantah tindakan saya untuk memberi gred A kepada hasil kerja Ika namun setiap kali saya tetap memberi penjelasan yang sama kepadanya.
“Ini ialah kreativiti kanak-kanak dan kami sebagai cikgu harus menggalakkan perkembangannya dan bukan menafikannya disebabkan persepsi mereka berbeza dengan kami. Bukankah salah satu objektif tadika ialah meningkatkan kreativiti kanak-kanak?”
Dalam tempoh enam bulan ini, saya menyedari bahawa seorang cikgu tidak boleh memilih pelajarnya dalam proses pengajaran. Hal ini kerana kewajipan seorang cikgu ialah mendidik dan memimpin muridnya tidak kira mereka ialah pandai, malas, nakal, pasif atau pendiam.
Tujuan utama anak murid pergi ke sekolah ialah menuntut ilmu dan salah satu peranan utama cikgu ialah memenuhi keperluan ini selain meneroka potensi yang ada pada setiap murid.
Ika telah menghadapi pelbagai kesukaran dalam mempelajari bahasa yang bukan bahasa ibundanya. Namun, dia mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran asas bahasa Cina ketika saya meletak jawatan untuk melanjutkan pelajaran.
Seorang murid yang kurang bercakap tidak bermakna dia tidak berpendapat. Seorang murid yang kurang pintar turut tidak bermakna dia akan sentiasa gagal. Golongan inilah yang memerlukan bantuan dan tunjuk ajar cikgu.Ika telah memberi satu pengajaran yang tidak ternilai kepada seumur hidup s

0 Comments:

Post a Comment

<< Home