7/06/2005

Hati Yang Melebihi 1 sen

Kok! Kok! Kok! Pintu terbuka. Senyuman terukir di bibir.
“Hai! Nama saya lal. Saya ialah wakil dari Kelab RKM USM. Sekarang kelab kami ada satu projek mengumpul satu sen dan lima sen di sekitar kampus. Jumlah wang yang dikutip ini akan diserahkan kepada Persatuan Kebajikan xxx. Jadi, saya ingin meminta bantuan anda untuk menderma syiling tersebut jika anda ada. Terima kasih!”
Demikianlah kata-kata saya ketika menjalankan tugas untuk mengutip dermaan dari setiap bilik di blok perempuan IK. Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa dan mahasiswi terhadap nilai satu sen dan lima sen yang sering dilupai tetapi mampu diderma oleh orang ramai. Lantaran daripada kekurangan pembantu, maka projek ini hanya dijalankan di desasiswa dalam kampus.
Sebelum memulakan tugasan, saya telah menyediakan dua beg plastik hitam yang berupaya untuk mengisi sepuluh biji oren. Seterusnya, saya berbincang dengan rakan untuk menetapkan masa yang paling sesuai untuk menjalankan projek ini.
Akhirnya, saya telah membuat keputusan untuk memulakan kutipan selepas pukul 8:30 malam (iaitu selepas waktu makan dan sembahyang) pada hari Selasa, Rabu dan Khamis di blok L06, L07 dan L11 desasiswa IK. Masa yang ditetapkan pada ketiga-tiga hari tersebut tidak bercanggah dengan jadual kuliah dan aktiviti persatuan saya.
Daripada pengalam tiga hari ini, saya berpeluang melihat pelbagai sikap dan karenah manusia apabila mereka menghadapi situasi yang sama. Sebagai contoh, apabila saya menerangkan projek ini kepada penghuni IK, ada yang mendengar dengan perhatian penuh seolah-olah saya ialah pensyarahnya. Walau bagaimanapun, ada yang langsung tidak melihat muka saya ketika saya memberi penjelasan seakan-akan saya tidak wujud dalam biliknya.
Malahan, salah seorang penghuni pernah menutup pintunya dengan segera tanpa memberi peluang untuk saya bercakap selepas dia nampak beg plastik dalam tangan saya. Saya juga pernah memberi penerangan dalam bilik yang membuka radio dengan kuat. Apabila penghuni tersebut tidak dapat mendengar walaupun saya bercakap dalam keadaan yang menjerit barulah dia merendahkan suara radionya. Dalam keadaan sedemikian saya biasanya akan mengulangi penjelasan saya.
Ketika memberi penerangan, ada penghuni yang pernah meninggikan sebelah keningnya dengan muka yang garang selain menjeling saya bagai melayan seorang penipu atau perompak. Namun, ada pula yang meminta saya menunggu sementara mereka mencari syiling tersebut dalam almari, laci, dompet, beg, kotak, tin, serta kertas plastik. Kebanyakan penghuni yang saya jumpa berasa pelik dan tidak mempercayai bahawa saya hanya mengutip satu sen dan lima sen. Ramai yang bertanya kepada saya: “Hah? Kenapa kamu nak kutip satu sen dan lima sen? Betulkah ni? Duit yang sikit ini mana cukup? Eh! Kalau saya bagi 10 sen dan 20 sen kamu tak terimakah?”
Saya juga pernah bertemu dengan penghuni yang berkata: “Kamu tidak perlu cakap lagi, saya terdengar apa yang kamu kata tadi di bilik kawan saya. Saya ada syiling itu. Biar saya ambil untuk kamu sekarang.” Namun ada pula penghuni yang bertanya: “Apa yang kamu nak? Kutipan ini untuk apa? Kamu ada surat kebenaran tak? Atau kamu sebenarnya nak jual barang?”
Di samping itu, ada penghuni yang berasa khuatir terhadap tahap kejayaan projek ini. Salah seorang penghuni pernah berkata: “Kenapa kamu nak buat macam ini? Cara ini tidak boleh gunalah...nanti kutipan kamu tidak cukup! Mengapa kamu tidak cuba untuk mengutip derma secara besar-besaran di Foyer DK?”
Ada juga penghuni yang berasa hairan dan ingin tahu lebih banyak mengenai projek ini. Seorang penghuni pernah bertanya: “Di manakah kamu kutip syiling ini? Desa lain ada tak? Bilakah tempoh akhir bagi projek ini?” Namun lebih ramai penghuni yang bertanya: “Eh! Saya tidak pernah dengar pun tentang kelab ini! Ada ke kelab ini di USM? Kelab ini pernah menjalankan apa aktiviti?”
Susulan daripada itu, saya terharu apabila mendapat galakan seperti: “Wah, susah juga kamu buat projek ini! Teruskan usaha anda!” Ada juga beberapa orang penghuni yang berkata: “Saya akan balik kampung pada hujung minggu ini. Mak saya ada banyak satu sen dan lima sen, saya boleh bawa balik ke kampus. Di manakah bilik kamu?”
Ada juga penghuni yang membantu saya untuk memujuk rakan sebilik atau jirannya untuk mendermakan satu sen dan lima sen. Salah seorang penghuni pernah berkata: “Hei Su, kamu ada simpan syiling ini kan? Bagilah dia. Saya tahu kamu ada. Kesianlah saya tengok budak ini. Banyak bilik yang dia kena pergi.” Ada seorang bekas ahli Kelab RKM pula menjawap: “Member saya ada banyak syiling ini. Apabila dia balik saya akan minta dia serahkan duit itu ke bilik kamu.”
Sekiranya penghuni yang saya jumpa ialah rakan saya, maka mereka akan berkata: “Ini kawan saya. Apa yang dia cakap boleh percaya punya. Tolonglah dia!” Malahan, kebanyakan daripada mereka menawarkan diri untuk mengiringi saya ke bilik rakan mereka supaya saya dapat menjalankan projek ini dengan lebih mudah.
Ketika menjalankan projek ini, pengalaman yang paling melucukan ialah apabila saya mendapat reaksi seperti, “Er...saya bukan tinggal di desa ini punya...kena derma juga ke?” dan “Er... ini sebenarnya bilik kawan saya. Bolehkah kamu datang ke bilik saya di xxx pada pukul 10:30 nanti?”
Apabila para penghuni menyerahkan syiling tersebut kepada saya, ada yang ingin melihat kutipan awal saya manakala ada yang membelai ataupun menggengam kutipan wang tersebut apabila mereka memasukkan syiling ke dalam beg plastik hitam yang telah saya sediakan.
Sehubung itu, ada penghuni yang menyerahkan syiling kepada saya sambil berkata: “Syiling ini saya makan di McD baru dapat punya! Susah untuk saya kumpul tahu!” Namun jawapan yang paling menakutkan saya ialah apabila seorang penghuni meraba bahu saya dan mengerlip matanya terhadap saya sambil berkata: “Wei, bagaimana kamu nak balas budi saya selepas saya derma syiling ini?”
Walaupun saya tidak lagi mengutip derma di IK selepas tiga hari itu, namun ada penghuni yang menunaikan janjinya dan mengunjungi bilik saya untuk menyerahkan syiling itu. Malahan, seorang rakan sekursus saya memandu keretanya ke IK semata-mata untuk menyerahkah koleksi satu sennya kepada saya.
Ada juga penghuni IK yang terjumpa saya di foyer ataupun kafe dan menyerahkan syiling tersebut kepada saya sambil berkata: “Ooooi! Ah moi, nasib baik saya jumpa kamu di sini. Saya dah lupa nombor bilik kamu dan tak tahu nak bagi syiling ini kat siapa. Nah, duit ini saya asyik simpan dalam beg!”
Walaupun saya berasa kecewa selepas mendapat beberapa layanan yang kasar dan kurang ajar namun saya bersyukur kerana banyak orang yang masih bersikap murah hati. Pengalaman kali ini telah mengajar saya supaya sentiasa membuka pintu dalam hati selain memberi peluang kepada diri dan orang lain untuk membuat baik. Bah kata orang, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home